PROJECT SOAR 3.08 min read

Project SOAR 3.0

Sebuah refleksi tentang masyarakat Orang Asli, pendidikan, dakwah dan bagaimana sebuah misi sukarelawan mengubah perspektif.

Ali Umairi
Ali Umairi
Published 5 Oct 2026

Apabila saya mendaftar sebagai sukarelawan untuk Projek SOAR 3.0, saya datang dengan pelbagai jangkaan tentang bagaimana kehidupan masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Mu dan Kampung D'Kenang. Program ini berlangsung selama beberapa hari dengan pelbagai aktiviti bersama komuniti seperti gotong-royong, aktiviti bersama kanak-kanak, sukaneka, sesi pendidikan, pengagihan bantuan dan aktiviti keagamaan. Namun, apa yang saya alami sepanjang program ini ternyata agak berbeza daripada apa yang saya bayangkan sebelum datang.

Sejujurnya, sebelum sampai ke sana saya mempunyai gambaran bahawa kehidupan masyarakat Orang Asli mungkin lebih terasing daripada kehidupan moden. Saya juga menjangkakan akan terdapat kesukaran dari segi komunikasi antara kami dengan komuniti. Namun selepas mula bergaul dengan mereka, saya sedar bahawa banyak tanggapan awal saya sebenarnya tidak tepat. Ramai daripada mereka boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan sangat baik dan mudah berkomunikasi dengan kami. Mereka juga sangat mesra dan terbuka menerima kehadiran kami.

Salah satu momen yang paling saya ingat berlaku semasa aktiviti sukaneka bersama kanak-kanak di Kampung Kuala Mu. Ada beberapa orang kanak-kanak yang kurang fasih berbahasa Melayu. Pada mulanya kami cuba menerangkan cara permainan kepada mereka, tetapi sebelum kami sempat mencari cara yang lebih mudah untuk menerangkannya, seorang kanak-kanak lain yang lebih fasih berbahasa Melayu terus membantu menerangkan arahan tersebut kepada rakan-rakannya dalam bahasa yang mereka lebih selesa fahami.

Mungkin bagi orang lain perkara itu nampak kecil, tetapi bagi saya ia sangat bermakna. Kami datang sebagai sukarelawan dengan niat untuk membantu dan mengendalikan aktiviti, tetapi pada masa itu kanak-kanak tersebut sendiri menjadi penghubung antara kami dengan rakan-rakannya. Ia mengingatkan saya bahawa komunikasi bukan hanya tentang kita menyampaikan sesuatu kepada komuniti. Kadang-kadang kita sendiri perlu belajar menyesuaikan diri, mendengar dan memberi ruang kepada mereka untuk menunjukkan kepada kita cara yang lebih baik untuk berkomunikasi.

Satu lagi pengalaman yang betul-betul mengubah tanggapan saya berlaku pada malam Sabtu, 25 Julai. Pada asalnya, jadual program menetapkan sesi kelas mengaji dan agama bersama komuniti. Namun, kami kemudiannya menggantikan sesi tersebut dengan aktiviti sirah yang lebih interaktif bersama kanak-kanak.

Pada mulanya saya agak risau. Saya tertanya-tanya sama ada mereka akan berminat untuk mendengar kisah sirah Nabi Muhammad SAW ataupun cepat bosan apabila kami mula bertanya tentang sejarah dan kehidupan Baginda.

Tetapi sekali lagi, tanggapan saya ternyata 100% salah.

Apabila sesi bermula, saya sangat terkejut melihat sejauh mana mereka mengenali Nabi Muhammad SAW. Apabila kami bertanyakan soalan tentang Baginda, sifat-sifat Baginda dan beberapa kisah daripada sirah, ramai daripada mereka boleh menjawab dengan yakin. Mereka bukan sahaja mengenali Nabi kita, tetapi juga mempunyai pengetahuan asas agama seperti kanak-kanak lain yang pernah saya jumpa. Malah, semangat mereka untuk menjawab soalan membuatkan sesi itu menjadi jauh lebih hidup daripada apa yang saya jangkakan.

Pengalaman itu membuatkan saya sedar sekali lagi bahawa kita tidak boleh membuat andaian tentang tahap pengetahuan seseorang hanya berdasarkan latar belakang atau tempat mereka tinggal. Sebelum datang, mungkin tanpa sedar saya mempunyai gambaran bahawa komuniti yang tinggal jauh di kawasan pedalaman mempunyai akses yang sangat terhad kepada pendidikan agama. Tetapi apabila melihat sendiri bagaimana kanak-kanak tersebut mengenali sirah Nabi dan mempunyai asas agama yang baik, perspektif saya mula berubah.

Pada masa yang sama, saya mula menghargai usaha dakwah dan pendidikan yang telah dilakukan jauh sebelum kami sampai. Pengetahuan yang mereka tunjukkan tentunya bukan sesuatu yang terbentuk dalam sehari. Ia datang daripada usaha ibu bapa, komuniti setempat, guru, pendakwah dan pelbagai pihak yang selama ini berusaha membawa pendidikan agama kepada masyarakat di sana. Saya juga dapat melihat bahawa usaha dakwah ini bukan sesuatu yang berlaku secara sekali-sekala, tetapi hasil daripada pendekatan yang berterusan, termasuk inisiatif pihak agama di negeri Perak. Program kami sendiri turut mempunyai sesi perkongsian bersama seorang tokoh dakwah dari Negeri Perak.

Perkara ini juga membuatkan saya sedar bahawa kami bukan datang kepada sebuah komuniti yang “tidak tahu” untuk mengajar mereka daripada kosong. Sebaliknya, kami hanya datang untuk menyambung sedikit daripada usaha yang telah lama berjalan, berkongsi apa yang kami mampu dan pada masa yang sama belajar daripada mereka. Kadang-kadang dakwah bukan sekadar tentang siapa yang mengajar siapa, tetapi tentang bagaimana kita saling mengingatkan dan menguatkan kefahaman antara satu sama lain.

Sepanjang program, kami turut menjalankan pelbagai aktiviti lain. Antaranya ialah bertemu Tok Batin, meninjau kawasan kampung, berinteraksi dengan penduduk, gotong-royong, aktiviti mewarna dan pengagihan bantuan. Apabila kami berpindah ke Kampung D'Kenang pula, terdapat sesi pendidikan bersama pelajar Orang Asli yang memberi pendedahan mengenai sekolah, biasiswa dan peluang ke universiti serta membantu mereka mengenal pasti potensi akademik masing-masing.

Bagi saya, sesi seperti ini sangat bermakna kerana bantuan tidak semestinya hanya berbentuk barang. Kadang-kadang berkongsi ilmu, mendedahkan seseorang kepada peluang yang mungkin mereka tidak pernah tahu sebelum ini atau sekadar memberikan mereka keyakinan bahawa mereka juga mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh boleh menjadi satu bentuk sumbangan yang sangat besar.

Pada masa yang sama, di sinilah saya mula rasa seperti masa yang kami ada benar-benar tidak cukup. Terlalu banyak ilmu, pengalaman dan peluang yang kami ingin kongsikan dengan mereka, tetapi masa yang ada sangat terhad. Sepanjang sesi tersebut, saya juga dapat melihat bahawa ada antara pelajar yang mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dalam pendidikan. Dengan pendedahan, sokongan dan bimbingan yang mencukupi, tidak mustahil ada antara mereka yang suatu hari nanti mampu melanjutkan pelajaran ke universiti, malah mungkin ke luar negara.

Perasaan itu membuatkan saya rasa kami sebenarnya boleh berkongsi lebih banyak lagi — tentang biasiswa, pengalaman belajar di universiti, peluang pendidikan di dalam dan luar negara, serta jalan yang boleh mereka ambil untuk sampai ke tahap tersebut. Mungkin sebab itulah walaupun sesi tersebut selesai dengan baik, saya masih rasa seperti ada banyak lagi yang belum sempat kami ceritakan. Bukan kerana apa yang kami lakukan tidak mencukupi, tetapi kerana apabila kita mula nampak potensi seseorang, kita secara semula jadi rasa mahu membuka sebanyak mungkin pintu dan peluang untuk mereka.

Kami juga diberikan peluang untuk belajar daripada komuniti sendiri. Di Kampung D'Kenang misalnya, kami berpeluang mencuba aktiviti seperti menyumpit dan menganyam. Pengalaman seperti ini sekali lagi mengingatkan saya bahawa hubungan antara sukarelawan dan komuniti bukanlah hubungan satu hala. Kami bukan hanya datang untuk memberi, tetapi kami juga datang untuk belajar. Setiap komuniti mempunyai pengetahuan, budaya dan pengalaman mereka sendiri yang mungkin tidak kita miliki.

Dalam masa yang sama, saya tidak dapat nafikan bahawa kami memang sangat penat sepanjang program. Jadual yang padat, perjalanan dari satu lokasi ke lokasi yang lain serta pelbagai aktiviti yang perlu dikendalikan membuatkan tenaga kami benar-benar digunakan. Ada hari yang bermula awal pagi dan berakhir lewat malam.

Tetapi apa yang menarik ialah walaupun kami penat, dalam masa yang sama saya masih rasa tidak cukup.

Saya rasa tidak cukup ilmu yang sempat kami kongsikan dengan mereka. Tidak cukup masa untuk mengenali mereka dengan lebih dekat. Tidak cukup peluang untuk memahami setiap individu dan tidak cukup masa untuk memberi lebih banyak daripada apa yang kami mampu lakukan ketika itu. Kadang-kadang saya terfikir bahawa kami sebenarnya boleh memberikan lebih banyak lagi, tetapi disebabkan kepadatan jadual dan kekangan masa, banyak perkara perlu dilakukan dalam tempoh yang agak singkat.

Perasaan itu membuatkan saya sedar bahawa program sukarelawan bukan sekadar tentang berapa banyak aktiviti yang berjaya kita selesaikan. Kita boleh datang dengan jadual yang lengkap, modul yang sudah disediakan dan pelbagai bantuan untuk diberikan, tetapi untuk benar-benar membina hubungan dengan seseorang memerlukan masa, kesabaran dan kehadiran yang berterusan.

Walaupun begitu, rasa penat tersebut terasa jauh lebih ringan apabila kami melihat hasil daripada apa yang dilakukan. Bila melihat kanak-kanak seronok menyertai aktiviti, bersemangat menjawab soalan semasa sesi sirah, bergelak ketawa semasa sukaneka dan penduduk menerima kehadiran kami dengan baik, rasa penat itu seakan-akan hilang seketika.

Sejujurnya memang penat. Ada masa badan rasa sudah tidak larat, tetapi apabila melihat mereka seronok dan memberikan respon yang baik terhadap aktiviti yang kami jalankan, kami sendiri rasa sangat gembira. Mungkin apa yang kami lakukan nampak kecil dari sudut pandang orang lain, tetapi apabila dapat melihat sendiri kegembiraan dan sambutan daripada mereka, ia memberikan satu kepuasan yang susah hendak digambarkan.

Pada akhirnya, kami mungkin pulang dengan badan yang penat, tetapi hati terasa penuh.

Projek SOAR 3.0 bagi saya bukan sekadar program untuk mengagihkan bantuan atau menjalankan aktiviti bersama masyarakat. Ia menjadi satu pengalaman yang banyak membetulkan perspektif saya sendiri. Saya datang dengan beberapa andaian mengenai komuniti Orang Asli, tetapi pulang dengan kesedaran bahawa banyak daripada andaian tersebut terbentuk kerana saya sendiri tidak pernah benar-benar berinteraksi dengan mereka.

Saya belajar bahawa kita tidak sepatutnya menilai sesebuah komuniti hanya berdasarkan lokasi mereka, gaya hidup mereka atau gambaran yang kita lihat dari jauh. Mereka mempunyai ilmu, budaya, kekuatan dan cara hidup mereka sendiri.

Dan mungkin perkara paling besar yang saya belajar daripada SOAR 3.0 ialah kadang-kadang kita menyertai program sukarelawan dengan niat untuk memberi sesuatu kepada orang lain, tetapi akhirnya kitalah yang pulang dengan lebih banyak pengalaman, persahabatan, rasa syukur dan perspektif yang baru.

ISMA EropahPROJEK SOAR 3.0

Comments

0 comments

Loading comments…