Projek Pentas Sunda : Pengalaman yang menyuntik kesyukuran
Projek Pentas Sunda membuka mata terhadap ketabahan masyarakat Aceh dan pentingnya meneruskan bantuan melalui pendidikan.

Danial Imran
Published 14 Nov 2026

Cuti musim panas pun bermula dan menjadi kebiasaan untuk saya pulang ke Malaysia pada setiap tahun (tahun ini merupakan kali ketiga saya pulang sejak bermukim di Manchester pada tahun 2023). Pada mulanya saya bercadang dan punyai hasrat untuk menjalankan praktikal di UK namun tiada peluang lagi yang saya peroleh pada tahun ini. Maka berikan sepenuh tumpuan terhadap pelaksanaan projek yang telah dibincangkan sejak awal tahun ini - misi kemanusiaan di wilayah Aceh.
Pengembaraan selama 7 hari terasa lama pada awalnya namun masa bergerak lebih pantas dari saya jangka. 5 hari pertama dipadatkan dengan misi bantuan kepada mangsa banjir di tiga empat lokasi sekitar Aceh Utara dan Aceh Tamiang. Kami menyampaikan bantuan dengan pemberian pek sembako (Sembilan Bahan Pokok) kepada penduduk kampung dan jajan makanan kepada pelajar tahfiz yang turut terjejas. Memberi pek makanan sahaja tidak cukup untuk membantu mereka. Kami turut menyantuni penduduk terjejas dengan perbualan ringkas serta permainan sukaneka bersama kanak-kanak.


“Terima kasih warga Malaysia, jauh datang ke mari memberi bantuan.”Suara penduduk Aceh
Semasa perbualan kami, banyak ungkapan yang menyentuh jiwa kami. “Terima kasih warga Malaysia, jauh datang ke mari memberi bantuan”, “Terima kasih kerana mengingati kami di sini”. Hal ini menyedarkan saya bahawa betapa pentingnya kita saudara yang berpegang pada tauhid yang sama membantu antara satu dengan yang lain, tidak kira bangsa mahupun latar belakang.
Walaupun kemusnahan yang mereka alami begitu teruk, namun saya dapati warga Aceh ini tetap cekal dan tabah dalam menghadapi ujian. Bukan sahaja ujian disebabkan bencana, malah sifat kurang tanggungjawab dari pihak berkuasa tempatan turut mereka sabar. Dari situ saya sedar bahawa nilai kesyukuran merupakan kunci ketenangan tatkala hidup diuji dengan musibah. Tambahan pula, kesyukuran itu melatih sifat qanaah dalam diri kita supaya diri sentiasa rasa cukup.
Selain dari menjalankan misi di kawasan yang terjejas akibat banjir, kami turut melaksanakan program bersama para pelajar di sekolah Ar Raudhah di daerah Lhokseumawe. Sekolah tersebut terdiri dari pelajar tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Pengalaman paling luar biasa adalah semasa kami menguruskan aktiviti sukaneka bersama hampir 230 pelajar sekolah rendah. Bayangkan, sesi bergambar bersama mereka sahaja menelan masa 10 minit. Bukan satu perkara yang mudah untuk berkomunikasi serta memberi arahan kepada mereka.
Saya menyedari akan betapa hebatnya guru-guru mereka ini, menjadi bukti kukuh untuk sentiasa menghormati tugas seorang guru kerana belum tentu saya dapat mengawal kanak-kanak ini. Terima kasih kepada semua guru yang berkorban masa dan emosi untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia.


Turut menarik minat saya adalah sekolah itu mempunyai program tahfiz - pelajarnya telahpun mula menghafal al-quran pada usia yang begitu muda. Maka saya mengambil kesempatan untuk menyoal mereka ayat suci al-quran sambil memberikan kepada mereka yang boleh menjawab. Kanak-kanak yang berusia 9 hingga 12 tahun telahpun menghafal juzu’ 30 dan hampir semua dapat menjawab soalan saya dengan tepat. Maka saya berikan bola ping pong sebagai hadiah buat mereka yang dapat menjawab dengan pantas dan tepat. Begitu juga dengan pelajar sekolah menengah, saya hadiahkan kepada mereka helaian jubah dan baju melayu. Inisiatif ini juga dapat menyuntik kesedaran kepada mereka agar terus istiqamah dalam mengingati al-quran yang telah dihafal.
Saya telah ditugaskan untuk mengetuai aktiviti bersama pelajar sekolah menengah pertama yang terdiri dari kalangan mereka yang berusia 13-15 tahun. Sebagai seorang pelajar dalam bidang kejuruteraan, saya melaksanakan aktiviti yang berkaitan dengan jurutera. Dalam kumpulan, mereka perlu membina menara yang paling tinggi dan kreatif dengan hanya menggunakan straw dan lidi. 30 minit masa yang diberikan kepada mereka. Ada yang ingin menambah masa kerana mereka belum siapkan.
Hasilnya kami mendapat 10 buah menara secara keseluruhan. Ada juga yang membina Menara Berkembar Petronas, membuktikan betapa mereka sangat memandang tinggi kepada Malaysia. Setelah itu, guru mereka memilih tiga yang terbaik untuk dinobatkan sebagai pemenang. Secara keseluruhannya, saya dapati aktiviti ini dapat melatih mereka untuk berfikir secara kreatif disamping mereka bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti berkumpulan. Tidak semua kumpulan dapat membina dengan jayanya akan tetapi harapannya agar pengalaman ini dapat membantu mereka suatu hari nanti.

Di sebalik kejayaan kami dalam melaksanakan misi selama tujuh hari ini adalah kesungguhan dari pihak-pihak yang bekerjasama dengan kami iaitu Komuniti Dakwah & Tarbiah yang diwakili oleh Ustaz Hanif dan Pak Hamdani dari sekolah Ar Raudhah. Kesungguhan mereka dalam memimpin kami menjayakan setiap program di Aceh sangat-sangat bermakna. Pak Hamdani telah menjadi sebaik-baik tuan rumah buat kami. Dedikasi beliau dalam menguruskan pengangkutan serta memastikan setiap sumbangan disampaikan kepada orang yang selayaknya membuktikan kerjasama yang utuh antara Malaysia dan Wilayah Aceh. Tidak lupa juga kepada Komuniti Dakwah Tarbiah yang sudi bekerjasama dalam projek ini dengan mencurahkan pengalaman yang mereka ada dalam misi bantuan kepada mangsa banjir di sekitar Aceh ini.
Sudah tentu projek ini tidak terhenti di sini sahaja. Kita mengharapkan kerjasama ini diteruskan dengan penambahbaikan oleh sukarelawan lain (atau kami juga) pada masa akan datang.
Projek Pentas Sunda ini secara tidak langsung telah membuka mata dan minda saya terhadap potensi kemajuan serta kesabaran dalam kalangan bangsa yang serumpun dengan kita. Seminggu di sana menyedarkan saya bahawa mereka perlu dibantu bukan sahaja dari segi bantuan makanan, malah pendidikan turut perlu diberikan perhatian agar mereka dapat membangunkan wilayah mereka. Sepanjang pengembaraan kami di sana, masih terdapat banyak kawasan yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh. Oleh itu, inisiatif ini seharusnya diteruskan agar nasib mereka kekal dibela di samping mereka yang menjadi sukarelawan dapat menyuntik rasa kesyukuran dalam diri masing-masing.
