PROJEK BORNEO2 min read

Semporna: Refleksi Misi Kemanusiaan

Sebuah pengalaman tentang pendidikan, kesyukuran dan harapan anak-anak di Semporna.

Aiman Harith
Aiman Harith
Published 5 Oct 2026

Saya Aiman Harith merupakan salah satu sukarelawan bersama ISMA Eropah dan Semporna Prihatin yang turut serta dalam misi kemanusiaan dan pendidikan di Semporna, Sabah. Sepanjang program ini, kami berpeluang menghabiskan masa bersama anak-anak di PPIAH Kuala Bibang & Pekan 2. Walaupun dibesarkan dalam keadaan rumah yang serba kekurangan dan majoriti tanpa dokumen pengenalan diri, mereka tetap memilih untuk bahagia dengan apa yang ada. Ketiadaan IC tidak pernah menjadi penghalang untuk mereka terus belajar di pusat pendidikan ini. Pembelajaran agama yang dijaga rapi serta semangat ingin tahu yang tidak pernah putus benar-benar mengagumkan. Lebih-lebih lagi apabila ada antara mereka yang membantu keluarga selepas waktu sekolah, menolong emak berniaga, mengupas ketam, menjaga kedai, dan macam-macam lagi. Budi bahasa dan adab mereka juga tidak pernah lekang, di mana setiap kali sesi tamat, mereka pasti bersalaman dan mengucapkan terima kasih.

Pada hari yang seterusnya, kami turut berkesempatan menyampaikan sesi motivasi kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5 dari SMK Bugaya 1 & 2 serta SMK Kabogan 2, di mana sekolah-sekolah ini terletak di kawasan pedalaman Semporna. Lokasi mereka yang jauh dari bandar tidak menjadi alasan bagi asas Bahasa Inggeris, Agama dan Sains pelajar-pelajar yang cukup kukuh. Malah, ada yang fasih berbahasa Inggeris dan bersemangat tinggi untuk terus bertanya tentang pengalaman menyambung pelajaran. Ini menjadi bukti bahawa dengan didikan dan bimbingan yang betul, mereka sememangnya mampu berjaya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

Kami juga berkongsi pengalaman serta kelebihan menuntut ilmu di luar negara dengan harapan ia dapat mencetuskan semangat dalam diri mereka untuk terus berusaha dan suatu hari nanti membawa nama Semporna gemilang di persada dunia. Pengalaman ini mengajar saya bahawa kejayaan dan kebahagiaan tidak semestinya diukur dengan apa yang dimiliki, tetapi dengan cara seseorang itu memilih untuk menghadapi kekurangan. Ia juga menjadi peringatan bahawa peluang untuk belajar dan merancang masa depan adalah sesuatu yang tidak patut dipandang remeh.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Semporna Prihatin dan ISMA Eropah kerana telah memberi peluang keemasan ini untuk turut serta dalam program yang begitu bermakna. Tanpa sokongan, bimbingan serta kepercayaan yang diberikan, pengalaman berharga ini tidak akan tercapai. Semoga kerjasama serta usaha murni yang dijalankan oleh kedua-dua pihak ini terus diberi keberkatan dan semoga lebih ramai anak-anak di Semporna serta pelajar-pelajar di pedalaman dapat terus dibantu pada masa akan datang. Saya juga akan berusaha untuk terus menyumbang dalam apa jua cara walau jauh di perantauan.

ISMA EropahPROJEK BORNEO

Comments

0 comments

Loading comments…