Reflection · 2 min read
Tunas Harapan di Bumi Ireland
Fadhlin Hadhira
Published
كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya.”
Seperti apa yang tertulis, setiap daripada kita adalah khalifah di bumi Allah, khalifah itu bukan tertakluk kepada jawatan semata-mata, bukan milik raja, menteri atau ketua-ketua negara tetapi setiap individu. Oleh itu, diterbangkanlah 7 orang penceramah ataupun “speakers” dari United Kingdom ke Ireland pada 7 November yang lalu.
Tujuan kami adalah untuk berkongsi pengalaman dengan para pelajar di Cork berkenaan program kemanusiaan yang kami jalankan semasa musim panas tempoh hari. Tetapi jika dilihat dengan sudut yang lebih mendalam, ciri-ciri pemimpin berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah itulah kualiti utama yang kami ketengahkan. Menjadi pemimpin yang hebat bukan bermaksud kita ketepikan agama sepertimana pegangan sekularisme, tidak sama sekali!

Melihat dari lensa pandang seorang speaker yang juga masih seorang pelajar, saya berasa teruja melihat semangat yang ditunjukkan oleh pelajar di Cork; mereka sangat terbuka dengan perkongsian yang diberikan dan masing-masing berani untuk melontarkan idea mereka semasa sesi pembentangan “Case Study”.
Kes yang diberikan tidaklah mudah, apa tindakan yang perlu diambil jika program mereka tidak mencapai budget yang diperlukan? Atau apabila semua ahli kumpulan hendak menarik diri daripada program? Lebih mencabar jika lokasi program mereka dilabel tidak selamat dan organisasi yang menaja memerlukan penjelasan? Saya yang sudah melalui masalah-masalah ini pun masih terkedu melihat soalan yang diberikan...


Namun melihat mereka berbincang di dalam kumpulan, semua ahli diberikan peluang untuk menyuarakan pendapat dan tiada seorang pun yang hanya berdiam memerhatikan rakan-rakannya, saya tersenyum. Ada sinar untuk ISMA Ireland.
Pelajar-pelajar ini seperti sudah tidak sabar untuk menyertai projek musim panas nanti. Daripada riak wajah mereka semasa sesi perkongsian, dapat dilihat beribu soalan bermain di fikiran - teruja, tertarik, terkejut, terinspirasi, semua lah perkataan yang menggambarkan niat mereka untuk menyertai misi kami. Bukan itu sahaja, tanpa disuruh atau dipaksa, mereka terus mendaftar keahlian ISMA dan program JUMS sejurus program RISE ini tamat!


Belakang parang, kalau diasah lagikan tajam; begitu juga dengan pemimpin-pemimpin muda ini. Jika ISMA Eropah terus-menerus memberikan mereka peluang untuk mempelajari ilmu dan kemahiran baharu, seiring dengan pembentukan akhlak dan akidah berlandaskan Islam, pastinya akan lahir khalifah-khalifah hebat sebagaimana yang kita harapkan. Namun buat masa ini, kita tidak boleh bersenang-lenang kerana berpuas hati dengan impak program. Enjin sudah panas, ini masanya untuk kita menekan minyak dan terus memacu, menarik lebih ramai saudara kita untuk “Membangunkan Mahasiswa Beragenda”.
