PROJEK SEED6 min read

Refleksi Projek SEED

Sebuah perjalanan tentang amanah, khidmat dan belajar melihat Sarawak dengan mata hati.

Tuan Muzfir
Tuan Muzfir
Published 5 Oct 2026

Pada bulan Februari 2026, kami menyertai program anjuran ISMA Eropah, iaitu Rise & Reflect The Philanthropist: Deeds That Endure. Program musim panas ini menjadi titik tolak di mana saya diamanahkan tanggungjawab besar sebagai Pengarah Projek di Sarawak, yang kemudiannya kami gagaskan sebagai Projek SEED (Sarawak Empowerment & Education Drive).

Saya sudah menjangkakan pelaksanaannya pasti mencabar, namun realiti cabarannya jauh lebih menduga. Sehingga ke hari kami berkumpul di lapangan terbang, debaran bergelodak memikirkan kekangan kewangan dan pelbagai kemungkinan. Namun, saya sedar bahawa projek ini bukan sekadar program biasa, melainkan satu amanah Tuhan dan tanggungjawab kepada semua yang menaruh harapan, penasihat, penderma, peserta, dan masyarakat. Kesedaran inilah yang menjadi obor pendorong untuk saya berikhtiar sehabis baik, memastikan setiap perancangan diangkat dengan penuh kebertanggungjawaban.

Melihat Sarawak dengan Mata Hati

Tiba di Sibu, pemerhatian awal kami tertumpu pada deretan papan tanda yang turut memaparkan tulisan Cina, mencerminkan kepelbagaian masyarakatnya yang majoriti bukan beragama Islam. Kami mengambil peluang merasa juadah Sarawak di kedai makan tempatan sambil berkenalan.

Sesi daurah keesokan paginya bersama Penyelaras Projek, En. Hafeez, benar-benar memaknai pemahaman kami tentang realiti sebenar di Sarawak. Beliau mengupas sejarah pahlawan kemerdekaan dari Sibu, Rosli Dhoby. Kisah tragis perjuangan Rukun 13 menentang British sangat menginsafkan, mempamerkan keberanian luar biasa anak muda.

En. Hafeez turut berkongsi surat terakhir Rosli Dhoby yang menjadi bukti ketakwaan seorang pemuda berusia 17 tahun berjuang demi agama dan bangsanya sebelum dihukum gantung. Tidak dilupakan juga pengkisahan tentang sejarah Kesultanan Sarawak yang pernah gah berdiri suatu ketika dahulu, dari mana nama “Sarawak Darul Hana” berasal.

Pesan En. Hafeez sebelum kami meneruskan perjalanan amat mendalam:

“Lihatlah sekeliling bukan sahaja dengan mata, tetapi dengan mata hati dan iman.”

Kami berpeluang menziarahi pusara Rosli Dhoby dan rakan seperjuangannya, menyuntik roh perjuangan. Seterusnya, kami singgah menunaikan solat di Masjid Al-Qadim, antara masjid tertua di negeri ini yang dibina pada tahun 1861 oleh seorang pendakwah dari Sumatera.

Seni binanya sungguh memukau, membuatkan kami terkesima menghargai nilainya. Sepanjang berada di Sibu, sapaan masyarakat setempat sangat mesra. Senyuman lebar mereka, sehinggakan ada peniaga yang ikhlas memberikan diskaun makanan, merupakan budi yang amat bermakna buat kami.

Sepanjang kami di Sibu juga kami berkesempatan untuk bersapa dengan masyarakat setempat. Mereka semuanya amat baik dan menerima kami dengan senyuman lebar, sehingga seorang tuan kedai telah memberi diskaun untuk harga makanan kami. Gesture sekecil itu amatlah bermakna buat kami.

Apabila Perancangan Tidak Menjadi

Perancangan awal untuk mengadakan program di Saratok terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Namun, ternyata pembatalan tersebut bukanlah satu musibah, sebaliknya hikmah untuk kami mengenali Sibu dengan lebih mendalam.

Kami kemudian meneruskan musafir ke Sarikei untuk program gotong-royong di Masjid Ar-Rahmah. Kesempatan bertegur sapa dengan pengerusi serta AJK masjid amat dihargai, walaupun loghat kami berlainan, kehangatan layanan mereka cukup terasa.

Semasa membeli barang persediaan di Mr. DIY, kami diuji untuk berkomunikasi dan menguruskan kewangan dengan bijak, mengimbangi perbelanjaan dan keperluan keceriaan serta pembersihan masjid.

Keesokan paginya, kami berpeluang menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Ar-Rahmah. Sesi tazkirah selepas solat itu sangat memberi kesan.

Penceramah memetik kata-kata Imam Ibn Rajab al-Hanbali:

“Seandainya tidak boleh menasihati atas kebaikan melainkan orang yang maksum, nescaya tidak seorang pun yang layak menasihati selain Rasulullah S.A.W.”

Teguran ini menjentik hati saya. Ada kalanya saya berasa diri ini tidak cukup baik untuk menjalankan amal bakti ini, namun pesanan itu menyedarkan saya bahawa kita tidak perlu tunggu menjadi sempurna untuk meneruskan usaha kebaikan.

Aktiviti gotong-royong membersihkan masjid bersama kariah setempat amat memberangsangkan. Walaupun Masjid Ar-Rahmah terletak di kawasan kampung dan bukan di pusat bandar, kesungguhan kariah yang datang amat mengagumkan.

Ketulusan jiwa mereka melihat mereka saling membantu sangat dirasai. Kami berkesempatan menyumbangkan buku SEED dan beramah mesra dengan mereka yang datang dari pelbagai latar belakang, ada antaranya bekas pegawai TUDM, bekas pengurus, dan penduduk kampung sendiri.

Pertemuan di Sarikei hanyalah singkat, namun ukhuwah yang terbina terasa sangatlah utuh.

Membawa Ilmu ke Tengah Masyarakat

Kami kemudian bergerak ke Daro untuk program bertemakan literasi kewangan. Malam sebelum acara, kami diundang makan malam oleh Puan Fazma Othman, seorang da'i di kawasan tersebut.

Kami sempat bertanyakan dan mengenali dengan lebih lanjut khususnya aktiviti dakwah di Kampung Badong, Dalat. Keesokannya di Surau Darul Ihsan, program dimulakan dengan sesi “Kewangan Zaman Nabi” oleh Saudara Danish Hakim yang membandingkan cara pengurusan harta Rasulullah dengan amalan hari ini.

Sesi “Literasi Kewangan” seterusnya dikendalikan oleh Saudara Adam Hakimi dan Saudara Mikail Jazli. Mereka membincangkan instrumen seperti penyimpanan emas dan ASB, di samping menegaskan keburukan mencari kekayaan melalui jalan yang ditegah Islam seperti judi.

Dalam aktiviti berkumpulan menguruskan wang bayangan RM10,000, saya cukup kagum melihat kreativiti peserta. Ramai yang bijak mengimbangi perbelanjaan asas dan pelaburan jangka panjang.

Sesuatu yang sangat indah adalah melihat pelbagai lapisan umur, dari warga emas sehinggalah remaja duduk satu bulatan dan bekerjasama.

Selepas program, kami dijamu pelbagai kulinari unik seperti umai, buah dabai, obor-obor, dan berpeluang mencuba sendiri pembuatan “pupis”, makanan tradisi berasaskan ikan.

Dalat dan Kepimpinan Melalui Akhlak

Perjalanan diteruskan ke Dalat, bertempat di Masjid Al Muslihin. Di sini kami berkenalan dengan Ustazah Nasha, da'i di Dalat serta Encik Syukri, setiausaha masjid.

Program bertemakan “Sirah Nabi Muhammad S.A.W. sebagai Pempengaruh Teragung” ini dikendalikan oleh saya dan Saudara Syazwan.

Menyasarkan audiens seawal 6 tahun hingga pelajar Tingkatan 2 menuntut kami berfikir secara kreatif. Melalui aktiviti kerja berpasukan membina “terowong kertas”, kami mendidik nilai kepimpinan berteraskan akhlak Rasulullah.

Semasa beramah mesra, kami mendapat tahu bahawa Encik Syukri merupakan seorang Pengurus Besar Projek di Papua New Guinea. Hakikat ini sangat membuka mata kami bahawa tokoh-tokoh hebat dan berpengetahuan tinggi turut menabur bakti di ceruk kampung ini.

Mukah dan Generasi yang Bakal Memimpin

Akhir sekali, kami ke Mukah. Hasil kerjasama padu Cikgu Julaihi dan Ustaz Nazhan, program di sini mendapat sambutan luar biasa sehingga mencecah 140 peserta.

Modul “Belia Al-Fateh” yang disampaikan oleh Fadhlin dan Arianna mengupas tentang gaya kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh.

Cabarannya berbeza. Kami perlu mengawal audiens berskala besar. Mesej utamanya jelas, iaitu kepimpinan melalui teladan.

Generasi remaja dan mahasiswa inilah yang bakal mengangkat martabat negara suatu hari nanti, justeru penting untuk mereka dibentuk dengan prinsip dan nilai insaniah yang teguh.

Sepanjang di Sarawak, kami turut berpeluang menemu bual beberapa muallaf. Kisah Puan Hidayah di Mukah paling menyentuh jiwa saya.

Dibesarkan dalam keluarga Buddha dan melihat rakan-rakannya memeluk Kristian, beliau sentiasa mencari jawapan tentang ketuhanan. Hidayah hadir menerusi tiga siri mimpi sebelum beliau memeluk Islam di universiti.

Beliau mengakui jalan yang dipilih tidak sunyi daripada ujian, termasuk hasutan pertubuhan murtad. Namun, alhamdulillah akidahnya utuh dan kini beliau memiliki perniagaan yang turut dijadikan platform dakwah.

Yang Disinari Sebenarnya Jiwa Kami

Kami bermula dengan aspirasi untuk memberikan sinar kepada penduduk Bumi Kenyalang, tetapi pada akhirnya, jiwa kamilah yang disinari oleh keluhuran budi mereka.

Dari menelusuri sejarah Rosli Dhoby di Sibu hinggalah keikhlasan masyarakat Sarikei dan kelainan demografi yang menyatukan, kami benar-benar terkesima.

Jangkaan pramatang saya bahawa landskap komuniti Muslim di sini sama sahaja dengan di Semenanjung ternyata tersasar.

Pada malam terakhir semasa sesi refleksi, pesanan En. Hafeez untuk melihat semua perkara dengan “mata hati” benar-benar membekas.

Saya melabuhkan tirai projek ini dengan penuh rasa syukur kerana dikurniakan ahli kumpulan yang sangat komited.

Seperti dinyatakan, kami menghadapi pelbagai ujian dan cabaran dalam menjayakan projek ini, namun ujian-ujian inilah yang mengajar serta mematangkan kami untuk menjadi manusia berguna kepada masyarakat.

Kepelbagaian bakat dan kesungguhan pasukan saya menjadi nadi sebenar yang menterjemahkan impian Projek SEED ini menjadi satu realiti yang indah.

ISMA EropahPROJEK SEED

Comments

0 comments

Loading comments…